Search This Blog

Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Sunday, May 2, 2010

Politikus!

generasi muda yang tak mahu tahu sejarah
seperti apa rupanya masa berdarah?
mungkin sebaris syair mimpi ngeri

atau balada sedih sepiring nasi campur
getar gema kutukan korban politik lumpur
ke langit ke tujuh mencari erti kata jujur

pura-pura tak tahu itu sadis yang oportunis
idea komplotan demi korupsi kekuasaan
segala macam cara dijadikan alasan
machiavelli asli punya ilmu turunan

setan pun bisa jadi orang suci
dan kau tertipu lagi, tertipu lagi
atas janji palsu yang tak ditepati

tikus berdasi curi nasi dari perut si anak miskin
politikus busuk berkhutbah soal manipulasi
pahlawan bergelar penjahat kemanusiaan?
awas sihirnya propaganda jalan sesat
jangan sampai terjebak rayuan jahat

Monday, April 5, 2010

Trauma Politik!

warisan kekuasaan lama
 
terbagi dua dalam satu wajah
 
posisi jadi alat kosmetik
 
demokrasi diatur dari atas

di bawah keresahan merata
 
tanda langit siapa subversi?
 
tiada lagi dongeng reformasi
 
semua kembali ke masa lalu

 
lupa sejarah masih bernanah
 
berdandan maling berdasi
 
sihirnya wang jadi biang
 
persoalan trauma bangsa pelupa

Monday, March 29, 2010

1Malaysia hanya Retorik?

Pelbagai reaksi diberikan apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan Dato' Seri Najib Tun Razak pada awal pemerintahannya sebagai kepala negara. Ada yang memuji gagasan ini dan ada yang mengkritiknya.

Sesetengah rakyat merasakan 1Malaysia adalah gagasan yang cuba mewujudkan satu bangsa Malaysia hingga melenyapkan kepelbagaian bangsa yang ada di Malaysia. Mungkin anda sendiri juga tidak memahami maksud sebenar gagasan ini. Sila baca booklet ini untuk kefahaman asas tentang gagasan ini agar perbincangan seterusnya lebih mudah difahami.

Sudah menjadi rentak dan rutin seorang pemimpin politik untuk perkenalkan suatu yang baru dalam siri pemerintahannya. Ini bertujuan memberi semangat baru dan bukti kerja yang dilakukannya. Kerana itulah juga, 1Malaysia pun diwujudkan.

Jika dibaca dan diteliti gagasan ini, saya akui ianya sangat baik. Ia tidak membawa kepada penghapusan etnik dan bangsa yang pelbagai. Fahaman untuk mewujudkan bangsa Malaysia itu adalah salah. Namun Dato' Seri Najib sendiri pun tersalah faham akan gagasan yang diwujudkannya apabila dia mengucapkan kenyataan berikut semasa mengumumkan gagasan ini, "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia."

Maka tidak hairanlah nilai-nilai yang terkandung di dalam booklet tadi sehingga ke hari ini tidak nampak diperjuangkan pemimpin negara. Silaplah jika pemimpin kita mengambil formula lapuk dalam menjayakan sesuatu. Formula lapuk yang saya maksudkan ialah 'meninggikan sesuatu dengan cara merendahkan sesuatu yang lain atau bertentangan dengannya'.

Sebagai contoh, seorang arkitek inginkan pujian kliennya atas rekaannya dengan cara memburukkan rekaan arkitek lain. Formula ini mungkin berjaya jika kliennya tidak bijak dalam menilai arkitek itu.

Kini saya percaya ramai rakyat Malaysia sudah bijak. Tidak seperti zaman dahulu, rakyat tidak mendapat pendidikan sempurna hinggakan paradigma pemikiran agak sempit dan mudah dipermainkan.

Oleh itu, saya menyeru agar 1Malaysia mengambil formula baru iaitu 'jika ingin dipandang tinggi, hendaklah tunjukkan kehebatan yang ada pada diri'. Dalam erti kata lain, 1Malaysia harusnya menunjukkan bagaimana perpaduan yang jitu dapat dihasilkan, bukannya memaparkan kisah-kisah perpecahan agar rakyat bersatu.

Paparan kisah-kisah penentangan antara kaum, perselisihan faham antara etnik dan seumpamanya adalah satu tindakan bahaya yang mengundang kepada perpecahan. Inilah yang nampaknya cuba dimainkan oleh pemimpin politik.

Saya berpandangan 1Malaysia seolah-olah dijadikan umpan untuk rakyat merasa keperluan untuk bergantung dan menyokong pemerintah yang kian kekurangan sokongan. Isu-isu perkauman dimainkan dan dipaparkan agar masyarakat jadi takut dan gelisah lantas mengambil semangat 1Malaysia supaya kembali bersatu.

Tidak perlu perpecahan untuk perpaduan

Pada hemat saya, rakyat Malaysia tidak berpecah langsung. Cuma masing-masing banyak bersikap individualistik. Keakraban sesama kaum sendiri adalah lumrah sepertimana akrabnya abang dengan adik kandungnya. Cuma jambatan penyatuan dalam pelbagai bidang antara berbilang kaum masih belum utuh.

Tambahan pula, pemimpin politik mengapi-apikan semangat perkauman dengan cara memaparkan isu perpecahan atau mewujudkan isu tersebut. Ahli akademik di Fakulti Pendidikan UKM, Puan Sri Prof Dr Rohaty Mohd Majzub juga tidak bersetuju dengan kewujudan 1Malaysia sebagai jawapan kepada perpaduan yang terlerai di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya,"Dahulu kita ukur sejauh mana seseorang itu bersikap perpaduan seperti adakah orang akan berdiri jika Negaraku dimainkan? Tetapi sekarang pengukuran perpaduan lebih kompleks daripada itu kerana kita perlu mendalami pemikiran dan dasar hati manusia."

"Saya tidak berani hendak kata perpaduan kurang kecuali telah ada data kuantitatif dan kualitatif untuk menyokongnya. Jika ukuran telah berubah tentu apa yang kita ingin lihat juga telah berubah."

Apakah tindakan mengheret kepala lembu adalah suatu perkara yang boleh diterima akal dalam usaha menyatukan rakyat? Perlakuan sebegini mampu mengundang tragedi berbunuhan jika kaum India pula menghina keesaan Allah Maha Kuasa.

Ini adalah perlakuan menyalahi pesan Allah:

"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."(Surah Al-An'am: 108)

Walaupun perlakuan ini didakwa dilakukan oleh sekumpulan ahli NGO, kerajaan Malaysia seharusnya mengutuk keras tindakan ini kerana ia merosakkan agenda 1Malaysia. Perlakuan ini kelihatan didorong oleh semangat politik kebencian orang Melayu berbanding semangat pertahan agama.

[Mereka kini didakwa bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948]

Jangan pula dalam pada kita mengibarkan bendera perpaduan kaum, kita sesama kaum Melayu pula cuba memutuskan tali bendera yang menarik bendera di tiangnya. Ketepikan faham politik, tegakkan kebenaran dan keadilan.

Adalah tidak bijak jika perpaduan yang cuba ditonjolkan dibuktikan dengan cara menimbulkan perpecahan terlebih dahulu. Bertindaklah sebijaknya dengan beri faham kepada rakyat setiap asas dalam gagasan 1Malaysia secara praktikal dan positif agar rakyat lebih optimis ke arah mengukuhkan jambatan penyatuan antara kaum dan sesama kaum.

Usah sibuk memikirkan undian terbanyak, fikirkan untuk berbuat terbanyak. Dengan cara inilah, rakyat akan berfikir untuk memberikan undi terbanyak untuk kalian.

Mencari isu sepakat

Saya sering terkenangkan contoh perpaduan antara PAS dan BN berdasarkan isu Palestin pada 8 Mei 2002 bertempat di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dr Mahathir boleh berjabat tangan dengan Allahyarham Fadzil Noor.

Isu-isu yang disepakati sebegini harus diperbanyakkan dan simbol perpaduan atas isu sebegini diperlihatkan. Forum, seminar, dan sebarang program yang membabitkan para pemimpin dari semua parti politik harus disemarakkan.

Jika diteliti semua nilai yang digariskan dalam 1Malaysia, ia jelas menunjukkan nilai-nilai sedia ada yang diajar oleh Islam dan agama lain. Bukankah perpaduan antara kaum juga melibatkan pelbagai agama? Maka, marilah kita menyikapi agenda 1Malaysia ini dengan teknik yang diajarkan Allah dalam menyantuni fahaman agama lain dengan mencari garis penyatuan dalam isu-isu tertentu.

Saturday, March 20, 2010

Nuklear

...Dr. Sukiman mendedahkan pentingnya tenaga nuklear untuk pembangunan masa depan dan keselamatan alam sekitar itu pada Syarahan Peranan Profesor UKM yang genap ke-100.

Menurutnya, penggunaan tenaga nuklear atau tenaga atom dianggap bahaya dan akan meledakkan saingan senjata nuklear yang mengancam keselamatan manusia adalah momokan negara maju dan kuasa besar yang suka menjajah.

“Pada hakikatnya tenaga nuklear adalah sumber paling murah dan selamat lagi efisien untuk manusia dan alam sekitar.

“Kegunaannya diperlukan dalam semua sektor sama ada perubatan, pertanian, industri dan perkilangan malah dalam pendidikan sekalipun, kerana ia bertindak sebagai penjana kuasa elektrik,” jelasnya.

Malah, penghasilan dalam teknologi nuklear juga cukup mudah. Misalnya proses pemecahan molekul air kepada hidrogen akan menghasilkan sumber tenaga.

“Kita memang kaya dengan sumber untuk membangunkan tenaga nuklear bagi menjana arus elektrik yang murah dalam memacu pembangunan dengan lebih selamat dan mesra alam.

“Di mana bahayanya penggunaan tenaga nuklear berbanding sumber tenaga yang dihasilkan melalui petroleum, gas dan arang batu,” soalnya.

Yang menjadi masalah sebagaimana yang menimpa Iran dan Korea Utara sekarang tegas Dr. Sukiman adalah kerana pembangunan nuklear yang mereka usahakan itu dikaitkan dengan menghasilkan uranium untuk membina senjata nuklear oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sebab itu beritahu Dr. Sukiman lagi, Malaysia perlu bangunkan penghasilan tenaga nuklearnya dari sekarang agar kita memiliki reaktor kuasa tenaga atom sendiri menjelang tahun 2025.

“Pada ketika itu kita tidak dapat bayangkan berapa pula nilai minyak mentah di pasaran sekiranya sumber bahan itu masih ada dan mampu bertahan,” ujarnya.

Dipetik dari Utusan Malaysia
Filecrop.com - search and download Megaupload, Hotfile and Rapidshare